Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Alai, Melaka

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, selamat datang ke laman blog sekolah kami ini. Semoga dengan adanya blog ini segala maklumat berkenaan sekolah dan aktiviti yang dijalankan dapat dikongsikan bersama dan dijadikan panduan untuk kita dimasa yang akan datang. Sekian, Terima Kasih.

Sunday, August 7, 2011

Al-Fatihah.....


Sekolah telah dikejutkan dengan berita pemergian salah seorang daripada pendidik di Sekolah Kebangsaan Alai yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya di Kota Tinggi, Johor. Arwah adalah seorang ustazah yang mengajar matapelajaran J-Qaf disini. Berikut adalah sebahagian daripada laporan akhbar yang dipetik daripada akhbar "Sinar Harian". Ikuti laporannya.




KOTA TINGGI – Seorang guru bahasa Arab maut setelah tercampak keluar daripada kereta dipandu dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 33.7, Jalan Johor Bahru-Mersing melibatkan dua kenderaan pada jam 4.45 petang, kelmarin.

Nor Zakiah Umar, 29, meninggal dunia di tempat kejadian apabila Toyota Rush yang dipandunya hilang kawalan lalu memasuki laluan bersebelahan dan melanggar kereta Toyota Hilux hingga menyebabkan dia dan seorang lagi penumpang tercampak keluar.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Merlimau, Melaka, sedang dalam perjalanan ke Kota Tinggi bersama adik angkatnya, Azuanurhuda Abd Rahman, 24, untuk membeli-belah.

Menurut sahabat karib mangsa, Asiah Samad, 49, berita kematian Nor Zakiah yang diketahui melalui sistem pesanan ringkas (SMS) rakannya pada jam 5 petang kelmarin bagaikan satu mimpi dan sukar untuk dipercayai.

"Saya begitu terkejut menerima berita pemergian arwah sedangkan kami baru sahaja bergelak ketawa bersama ketika kem ibadah berlangsung siang tadi (kelmarin). Kami juga sempat berbual panjang sebelum tidur di dalam bilik yang sama.

"Saya ada melihat arwah melakukan solat Tahajud pagi tadi (kelmarin) dan tiada tanda langsung menunjukkan arwah akan pergi selamanya," katanya yang bergegas ke Kota Tinggi dari Merlimau selepas dimaklumkan kejadian yang berlaku.

Menurutnya, Allahyarham Nor Zakiah seorang yang sangat baik dan selepas tamat kem ibadah itu, arwah ada memberitahunya mahu berjumpa adik angkatnya di Johor dan seterusnya ke Kota Tinggi untuk membeli-belah.

"Sebelum arwah berangkat ke Johor, kami sempat pergi kenduri kahwin bersama-sama dan saya tidak menyangka bahawa itu merupakan pertemuan terakhir kami," katanya yang juga mengajar di sekolah sama dengan mangsa di Sekolah Kebangsaan Alai, Merlimau.

Sementara itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Adik angkat mangsa yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Johor Bahru berada dalam keadaan separuh sedar dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah. Sementara pemandu Toyota Hilux iaitu seorang lelaki Cina hanya mengalami cedera ringan di telinga," katanya.

Jenazah mangsa kemudian dituntut ahli keluarga dan telah dibawa ke kampung halamannya di Merlimau untuk dikebumikan pagi semalam.


Sumber daripada akhbar Sinar Harian.


Semoga roh arwah sentiasa dicucuri rahmat, Al-Fatihah.....

1 comment:

  1. innalillahhiwainnalillahhirojiun...al fatihah...baru hari ni dapat khabar dari sahabat allahyarhammah ustzh zakiah juga salah seorang guru praktikal di SMK Dang Anum 2015.Semoga rohmu dilindungi dan dicucuri rahmat dengan kasih sayang Allah SWT. uztazah, segala ilmu yang ustazah dah ajar pada kami akan kami jadikan amalan sebagai tanda kasih sayang kami pada seorang guru yang sangat baik.

    ReplyDelete